Wednesday, April 20, 2011


Tuesday, April 19, 2011

Menyingkap Kedamaian Di Kuala Keniam

  
     Kalau anda berpeluang berkunjung ke Taman Negara, tidak lengkap rasanya tanpa meneruskan perjalanan ke Kuala Keniam atau lebih dikenali dengan nama Keniam Lodge.

Perjalanan dari Kuala Tahan ke Kuala Keniam melalui sungai mengambil masa lebih kurang dua jam bergantung kepada keadaan paras air sungai yang kadangkala dalam dan adakalanya cetek. Anda boleh menaiki bot sepuluh penumpang atau empat penumpang yang disediakan oleh pihak Jabatan Perhilitan. Sepanjang perjalanan mengharungi Sungai Tembeling ini, anda akan menempuh tujuh jeram yang dianggap menyeronokkan. Keindahan alam semulajadi di sepanjang tebing sungai memukau mata memandang. Sekiranya anda bertuah, anda akan dapat melihat burung-burung yang beterbangan, kera dan monyet yang berloncatan dari dahan ke dahan atau biawak yang sedang menyusur pasir di tepi tebing sungai. Semua ini membuatkan perjalanan anda tidak membosankan.

Manakala bagi anda yang minat menjelajahi hutan dengan berjalan kaki, anda boleh menggunakan rentis Kuala Tahan - Kuala Keniam yang juga dibuat oleh pihak Jabatan Perhilitan. Namun perlu diingat, anda seharusnya membawa minuman dan makanan yang mencukupi kerana perjalanan ini agak jauh iaitu lebih kurang tujuh atau lapan jam/ Perjalanan melalui rentis ini akan mengajak anda lebih dekat lagi mengenali dan mengecapi keindahan alam semulajadi. Bunyi serangga dan hidupan liar serta kicauan burung-burung menemani dan menghiburkan sepanjang perjalanan anda/ Sebelum sampai ke Kuala Keniam anda akan menemui beberapa buah gua seperti  Gua Kepayang Kecil, Gua Kepayang Besar, Gua Daun Menari dan Gua Luas.

Berbagai-bagai aktiviti yang menyeronokkan boleh dilakukan di Kuala Keniam. Antaranya mengkaji, menyelidik atau memerhati burung. Kuala Keniam merupakan salah satu tempat yang terbaik bagi peminat-peminat burung. Selain terhindar dari sebarang pencemaran, di Kuala Keniam banyak terdapat pokok-pokok yang menjadi tempat perlindungan dan tarikan beraneka spesis burung. Antara spesis yang mudah dilihat ialah spesis Enggang, Takor, Takau, Tukang, Dendang, Sepah Puteri, Tiung dan berbagai lagi spesis yang jarang-jarang kelihatan di tempat lain.

Memancing merupakan satu aktiviti yang akan memberikan kepuasan kepada anda. Ini adalah kerana sungai Keniam yang berhampiran di situ masih banyak mengandungi pelbagai spesis ikan. Ikan-ikan di kawasan ini terhindar dari sebarang gangguan dan pencemaran. Tambahan pula terdapatnya pokok-pokok ara, neram dan jambu air yang mana buahnya menjadi makanan utama ikan. Spesis ikan yang terdapat di sepanjang sungai Keniam antaranya Toman, Sebarau, Belida, Kelah dan berbagai spesis lagi. Kuala Perkai adalah satu-satunya tempat yang sesuai untuk memancing. Di sini terdapat sebuah lodge untuk kemudahan bermalam di bawah pengendalian Jabatan Perhilitan.

Selain dari tempat memancing, Kuala Perkai juga sesuai untuk tempat beristirehat.. Suasana yang tenang dan damai serta panorama nan indah tentunya amat sukar untuk luput dari ingatan anda. Untuk sampai ke Kuala Perkai, anda boleh berjalan kaki dari Kuala Keniam sejauh 4.2 km, ataupun anda boleh menyusuri sungai Keniam dengan menaiki bot empat penumpang. Oleh kerana sungai Keniam merupakan sungai yang sempit dan cetek airnya, perjalanan anda menjadi lasak dan mencabar. Kegelisahan sentiasa bergayut di hati anda ketika bot yang anda naiki menempuh jeram-jeram yang kecil dan berbahaya. Namun itu semua menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan.

Terdapat dua buah gua yang anda boleh jelajahi di Kuala Keniam. Gua-gua tersebut ialah Gua Daun Menari dan Gua Luas. Kedua-dua buah gua ini terhasil dari bukit batu yang tinggi. Ketinggianya mencapai lebih 500 meter. Seperti gua-gua lain, Gua Daun Menari dan Gua Luas juga didiami oleh kelawar, ular, katak dan berbagai jenis serangga yang mana ianya merupakan satu ekosistem yang stabil. Terdapat juga kesan-kesan tapak kaki gajah liar di sekitar gua-gua tersebut. Untuk sampai ke gua ini, anda perlu berjalan kaki melalui rentis yang dibuat oleh Jabatan Perhilitan sejauh 3.5 km dari Kuala Keniam. Sepanjang perjalanan ke gua-gua tersebut, anda mungkin mendengar laungan burung Kuang Raya, Ungka Tangan Putih atau Siamang. Anda juga barangkali akan terjumpa kesan-kesan tapak kaki hidupan liar seperti kesan tapak kaki gajah, serigala hutan, seladang, babi hutan dan harimau. Adakalanya anda boleh terserempak dengan binatang liar mengikut situasi tertentu.

Walaupun Kuala Keniam jauh terpencil, namun ianya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Bagi anda yang inginkan udara yang segar dan nyaman serta ketenangan, kedamaian dan keindahan alam semulajadi, Kuala Keniam adalah tempat yang paling sesuai. Sesungguhnya ketenangan, kedamaian dan keindahan ini hendaklah sentiasa dipelihara dan dikekalkan untuk tatapan generasi yang akan datang.