Monday, June 23, 2014

Biji Getah Belimbing Buluh.

Berdetap-detap bunyi biji getah jatuh ke atas atap zink. Mak Limah mengasah parang penebasnya hingga berkilat.
Fajar mula menyinsing. Selesai mengasah, Mak Limah masukkan parang ke dalam guni plastik. Mak Limah melangkah perlahan-lahan ke kebun getahnya.
“Banyak juga biji getah yang jatuh pagi ni ye”. Aisyah menyapa sambil mengekori di belakang Mak Limah.
“Ye, ada masa dapatlah seguni ni”. Mak Limah tebongkok-bongkok sambil jemarinya rancak memungut biji getah di celah-celah rumput.
Baru pertama kali Aisyah menjejakan kakinya ke daerah pedalaman ini. Setelah tamat pengajian perguruan di Kuala Lumpur, dia di hantar bertugas ke Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi.
“Eee.....Makcik, apa ni...?” Aisyah terloncat-loncat sambil menyelak kainya paras betis Seekor pacat melekat di belakang betisnya yang putih gebu itu.
“Laa... takde mendenya tu.”Balas Mak Limah sambil tersengih-sengih menampakkan senyumanya. Gelihati melihat gelagat Aisyah bila digigit pacat.Mak Limah tarik pacat dari betis Aisyah. Maka darah pun meleleh dengan derasnya. Mak Limah ambil parang dan potong pacat yang sedang menggeliut di atas tanah. Aisyah rasa geli geleman. Lalu Mak Limah ambil beberapa helai daun senduduk kemudian ramas- ramaskan sehingga keluar air hijaunya, kemudian ditenyehkan pada kesan gigitan pacat.
“Kalau nak berhentikan darah ginilah caranya.” Mak Limah menekan-nekan ramasan daun senduduk ke betis Aisyah.
“Oh! Ye ke? Tu dah berhenti darahnya.” Sambil tersenyum Aisyah memandang ke muka Mak Limah.


                                                    1
Banyak pengalaman yang dipelajari sepanjang Aisyah mengajar di sekolah Kampung Pagi. Mula-mula dia sampai dulu, hatinya berdebar-debar juga.
Mana tidaknya untuk sampai ke Kampung Pagi, Aisyah terpaksa menaiki perahu panjang dari jeti Kuala Tahan. Perjalanan memudiki sungai mengambil masa lebih kurang satu setengah jam.
Hati Aisyah bagai digoncang ketika berada di dalam perahu panjamg yang teroleng-oleng di atas permukaan sungai. Bertambah kecut perutnya ketika perahu terlompat-lompat sewaktu melalui kawasan berjeram di sepanjang Sungai Tembeling.
Terdapat tujuh jeram untuk sampai ke Kampung Pagi. Selepas Kampung Pagi, ada beberapa lagi kampung tradisional yang lebih jauh ke pedalaman hulu sungai. Antaranya ialah Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, kampung Gusai dan Kampung Bukit Mat Daling. Setiap kampung mempunyai sebuah sekolah kebangsaan. Walaupun jauh di pedalaman , Aisyah berasa gembira juga kerana hanya ditugaskan untuk mengajar di Kampung Pagi yang lebih berhampiran dengan Kampung Kuala Tahan.
Manakala di Kampung Kuala Tahan terletaknya pusat pelancongan Taman Negara yang sudah termasyhur ke pelosok dunia. Jalanraya pun sudah sampai ke Kampung Kuala Tahan memudahkan Aisyah untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Matahari mula meninggi. Jam di tangan Aisyah menunjukkan ke angka sepuluh. Pagi Sabtu Aisyah tidak mengajar. Dapatlah dia menemani Mak Limah mengutip biji getah.
Guni di tangan Mak Limah sudah separuh berisi biji getah. Begitu juga bakul yang di bawa Aisyah hampir separuh dengan biji getah.
“Cukup dululah ye untuk hari ni, pagi esok kita cari lagi.” Kata Mak Limah sambil melangkah beriringan dengan Aisyah.
“Baiklah makcik kalau tak ada program esok  kta cari lagi.” Angguk Aisyah sambil mereka menuju jalan pulang.

                                               2
Sampi di hadapan tangga rumah Mak Limah berhenti “ tunggu sini dulu nanti makcik ambil tikar kita minum dulu.” Mak Limah melangkah anak tangga kemudian masuk ke dalam dan keluar semula dengan membawa segulung tikar mengkuang. Mak Limah hamparkan tikar mengkuang di bawah pokok belimbing buluh bersebelahan rumahnya. Pokok belimbing buluh itu rendang dan selalu dijadikan tempat beristirehat. Suasana di bawah pohon belimbing buluh itu nyaman sesekali angin bayu berhembus.
Mak Limah keluarkan termos yang berisi air teh o dan mangkuk tingkat yang berisi nasi goreng kampung dan sedikit pisang goreng. Aisyah bantu Mak limah tuangkan air dalam cawan plastik dan bukakan penutup mangkuk tingkat berisi pisang goreng. Mak Limah sendukkan nasi goreng ke dalam pinggan plastik berwarna merah.
“Jemputlah sarapan , ni semua makcik masak pagi tadi.” Mak Limah capai cawan dan teguk sedikit air teh o. Aisyah mengangguk-angguk sambil minum dan makan pisang goreng. Sambil berbual –bual Aisyah memerhati buah-buah  belimbing buluh yang lebat bergugus sampai ke tanah.
Pohon belimbing buluh memang rendang. Pokoknya nya agak besar lebih kurang sepemeluk. Buah-buah  yang sebesar ibu jari orang dewasa melekat pada batangnya memang lebat. Banyak juga yang telah jatuh ke tanah barangkali kerana sudah terlalu masak.
“Lepas kita jemur biji getah ni nanti bolehlah kita pungut belimbing buluh pula. Dah banyak sangat yang dah masak ni, sayang juga.” Kata Mak Limah sambil bangkit dari tempat duduknya sambil mengibas-ngibas selendangnya.
“Makcik nak buat apa dengan biji getah ni.” Terpinga-pinga Aisyah. Sangkanya Mak Limah nak buat biji benih untuk semaian.
“Nak buat asam rom la.” Balas Mak Limah.
“Apa asam rom tu?” Aisyah masih belum megerti.
“Untuk dijadikan perisa masakan seperti tempoyak tu. Nanti bila dah siap , Aisyah rasalah.” Mak Limah dah mengagak bahawa Aisyah belum pernah makan gulai asam rom.
                                                              3
                                                      = = =
Suasana cerah di Kuala Lumpur. Puan Hajar dan suaminya sibuk mengemas dalam dan luar rumah. Majlis pertunangan anak sulung mereka Aisyah akan berlangsung pada hujung bulan. Mereka lebih suka membuat persiapan awal supaya  aturcaranya lebih teratur dan tidak kelam kabut di saat-saat akhir. Maklumlah pengalaman pertama untuk menyambut menantu.
“Assalamualaikum along , apa khabar kat sana?” Puan Hajar menelefon Aisyah dengan menggunakan telefon bimbitnya. Sememangnya beliau selalu menghubungi anak manjanya itu. Melepaskan rasa rindu berjauhan.
“Waalaikumussalam umi, Aisyah sihat walafiat kat sini, umi, walid dan adik sihat ke? Umi buat apa tu?” Balas Aisyah panjang lebar dengan penuh mesra.
“Kami kat sini sihat-sihat semuanya. Umi sedang mengemas ni kan hujung bulan ni rombongan Ikmal nak datang.” Ujar puan Hajar sambil mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Tidak sabar rasanya untuk bersua dengan  Aisyah kesayanganya itu.
“Ye lah umi kat kampung ni Aisyah seronok sangat.Ada seorang makcik tu baik sangat dengan Aisyah, dia ajar Aisyah masak dan ajak Aisyah pergi kebun. Jiran-jiran kat sini semuanya baik-baik umi.” Jelas Aisyah dengan rasa girang.
“Bagus lah kalau macam tu, hati- hati kat kampung tu, jaga diri, jangan meninggi diri dan yang paling utama jangan lupa solat tau. Haaa satu lagi hujung bulan ni balik awal tau.” Puan Hajar tak henti menasihat agar Aisyah tidak lupa diri.
“Baik lah umi, Aisyah ingat pesan umi tu, nanti seminggu sebelum rombongan tu datang Aisyah akan balik Kuala Lumpur.”Sayu suara Aisyah melepaskan kerinduan.
“OK lah bye ...assalamualaikum.” Puan Hajar mengakhiri perbualan.
“Bye...umi waalaikumussalam, sampaikan salam pada walid dan adik ye.”Aisyah menggenggam erat telefon bimbitnya sambil air matanya menitis perlahan.
                                                                  4

                                                      = = =
Hari Isnin hingga Jumaat Aisyah sibuk dengan rutin harianya. Mendidik dan mengajar  murid-murid di daerah pedalaman itu. Walaupun dia baru tiga bulan berada di sekolah itu namun dia sudah dapat menyesuaikan dirinya dengan keadaan yang serba kekurangan itu. Dia teruja dan seronok dapat mencurahkan khidmat baktinya kepada murid-murid yang jarang-jarang  keluar ke kawasan bandar. Setiap hari Aisyah menasihati murid-muridnya agar belajar dan berusaha bersungguh-sungguh agar dapat mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik di masa akan datang.
Waktu petangnya pula Aisyah memenuhi kegiatan kokurikulum samada dalam kegiatan kelab dan bersukan. Tak dapatlah dia menemani Mak Limah. Rumah Mak Limah dari sekolah tidakah jauh sangat lebih kurang lima ratus meter saja. Aisyah mula mengenali Mak Limah ketika orang tua tu berniaga sayur-sayur kampung  di kantin sekolah.
Mak Limah memang seorang yang peramah. Hampir semua cikgu dan kakitangan di sekolah itu mengenali Mak Limah. Mana-mana cikgu yng baru mengajar akan dijemput nya ke rumah. Aisyah mula serasi dan sememangnya dia ingin sangat mengetahui tentang kehidupan di kampung.





No comments: