Read Cafe

Red Cafe memuatkan hasil karya seni Aymad Mohamad:

MusicPlaylist
Music Playlist at MixPod.com

      Di Hari Perpisahan

Pada suatu pagi yang dingin
ketika embun masih menitis di hujung rerumput

aroma di kaki Gunung Tahan menjadi sayu
kerna menghantar pulang
seorang putera berjasa

datangnya dulu menongkah arus bersama cahaya
menyuluh kegelapan anak-anak belantara
yang sekian lama lena di ranjang resah

kau taburkan batu-batu permata
di sepanjang alur Tembeling ini hanya
untuk anak-anak belantara yang menderita
kerna terpencil di hujung desa

kau celikkan mata anak-anak belantara
yang buta tentang kecanggihan negara tercinta

kau hiaskan persalinan anak-anak belantara
dan tempat berteduh yang tidak terbela

dan kau pecahkan kepompong konkrit
agar dapat anak-anak belantara
terbang menerjah cakerawala menjenguk dunia

cuma belum sempat anak-anak belantara
menilai jasa mengenang budi
kau telah mahu melangkah pergi

cuma satu tunggak junjung anak-anak belantara
walau terpisah di balik jejeran pergunungan
anak-anak belantara tidak akan lopa nanti
batu-batu permata yang kau tinggalkan
agar menjadi jambatan hati

24 March 1994


     Rintihan Anak Belantara

Mengapa kau biarkan bumi ini kering
ketika hujan masam menghempas
pada rumput-rumput yang tidak lagi hijau
namun menjadi kuning keemasan\
bercampur asap kelabu

mengapa kau biarkan pelangi
tidak lagi berwarna indah
dan kau hiaskan bumi ini
dengan batu-batu yang tersusun rapi
lalu menjadi sebuah taman permainan
terpegun mata dan mengkhayalkan
tanpa mengira akal
yang sudah hilang naluri kemanusiaan

10 Mei 1994


     Alam

Biarkan murai terus bernyanyi
biarkan pohon hijau menjulang ke langit
tanpa sebarang halangan
dari debu merah berterbangan

biarkan langit cerah membiru
biarkan mentari terus bercahaya
biarkan pagi diselaputi kabus
biarkan bumi terus hidup
biarkan alam sentiasa bernafas
tanpa awan hitam berserakan

10 Mei 1994

     Kerakusan

Mengapa kita
ketika mentari garang
membakar bumi
dan lampu-lampu kilau kemilau
terang benderang
kita lari-berlari kejar-kejaran
merakus apa yang di depan
tanpa rasa sekelumit keinsafan

dan ketika mentari dan lampu-lampu
tidak ingin lagi berkilau
kita teraba-raba
tanpa arah tujuan
dan ketika itulah terkumpul
rasa pelbagai sesalan

8 Mei 1994


     Kami Anak-Anak Bosnia

Berjayakah mereka yang mengupah
anjing-anjing Serbia
yang menggonggong tulang-temulang kami
lalu menjilat darah kami
di atas rumput-rumput yang telah merah
dan sebahagian darah kami berjejeran
bersama sungai mengalir lesu
kerana berbaur bersama nanah kami yang pekat
kemudian mengalir ke sebuah padang
luas saujana memandang
berceracak batu-batu peringatan
akan kematian kami

lihat di sana
awan mendung turut berpilu
ketika kami berdoa
hujan debu merestui dengan dentuman
peluru-peluru kesasar
namun mereka tidak mengetahui
bahawa kami sukar ditawan
kerana tanpa mereka sedari
mereka hanya mampu membunuh jasad kami
tapi tidak dapat mematikan roh kami

25 Dec 1994


     Khabarkan

Angin yang mendayu
dan air yang beralun longlai
sampaikan rasa sayu
coretkan rasa sepi
dari sekeping hati yang rapuh

juga burung melebar sayap
atau ikan berkayuh ridip
datangkanlah seorang puteri
dari kota Hirosaki
yang telah tiga purnama ku kenali

damaikah hati ini
tenangkah jiwa ini
jika alam mengerti
kalau semuanya merasa
atau aku yang bermimpi
menunggu di pelabuhan senja

7 Ogos 1990
                                               ONE DROP PERFUMES


     Tidak Lama Lagi

Musim kian berpusing
tidak lama lagi
bumi antartika akan kering
dan benua artik kontang
masa tidak menunggu lagi
serta garis-garis gurun
akan turun debu-debu salji
semuanya tidalk lama lagi

27 Julai 1990


     Batu Karang Panuba Inn

Hadirmu di tengah samudera membiru
adalah hiasan di bibir pantai
angin berhembus bayu
mengurai rambut perangmu
bisikanmu dari Frankfurt
terimbau di hujung telinga
kau perlu kembara
untuk mengisi usia
tanpa sebarang makna
kau cari kepuasan, kebebasan atau ketenangan
cuma satu jalan
kembalilah kepada Tuhan

18 Jun 1990


     Panuba Inn

Wajahmu amat indah
bagai seekor ikan duyung
rambut perang mengurai
dan kulit seputih pasir
di pantai yang dibakar mentari

wajah ombak memukul dan membedal
ibarat pemanis senyummu
guruh berdentum kilat menyambar
itulah penyeri kehidupan
dan kulit-kulit kerang serta siput
adalah perhiasanmu
perahu dan kapal yang berlayar
ialah tetamumu

hari ini
akulah kapal yang berlayar itu

15 Jun 1990